Bismillahirrahmanirrahim.
Terhenti langkah dia. Sekali kedengaran jeritan dari belakangnya. "Woi! Nak ke mana tu?"
Sejak bila aku menjadi manusia tidak bernama? Hatinya merintih, entah kepada siapa.
Dia memandang kakinya. Lama dia berdiri di hadapan pagar masjid tersebut. Orang di kiri kanannya masuk keluar, tidak menghiraukannya. Dia dapat merasakan kehadiran beberapa orang di belakangnya. Tidak mampu di agak berapa orang, yang pasti bukan seorang. Dan pasti juga bukan wanita, kerana suara itu cukup garau untuk dikenalpasti sebagai lelaki.
"Kau nak ke mana tu?" Suara yang menjerit sebentar tadi menjerngah ke telinganya. Penuh dengan perasaan benci. Dia mula menggigil, merasakan seperti dia telah dikepung oleh musuh-musuh yang tidak pernah dia kenali. Air mata yang sudah terhenti sebentar, mula laju bertitisan.
"A...a...aku tak ke mana..aku..."tergagap dia cuba menjawab.
"Kau biar benar. Aku tengok gaya kau tadi, macam kau nak masuk masjid tu kan?" suara itu memotong jawabnya. Dia hanya senyap. Di dalam hati dia mula mengharap. Harapan yang tidak pasti dia sandarkan kepada siapa. Dia sedar, harapannya mungkin sia-sia, tapi baginya, tiada salah pada mengharap bukan? Selagi harapan tidak hilang, pasti ada kemungkinan.
"Kau tahu tak kau ni siapa? Dah lah kotor. Baju tak cukup kain, kau nak masuk masjid? Kotor masjid tu nanti!" suara tadi yang sudah cukup kasar mula meninggi. Beberapa orang berpaling melihat 'gadis kotor' yang sedang ditengking tanpa segan silu. Terdapat beberapa orang juga yang berhenti daripada 'kejaran dunia' untuk melihat kejadian yang sedang berlaku.
Dia mula terasa seperti bahan ketawa yang tidak sepatutnya wujud di situ. Air matanya sudah tidak dapat ditahan. Tersedu dia disitu.
Apa aku bukan manusiakah?
Orang ramai mula mengerumuni di hadapan masjid, bukan memenuhi masjid tersebut. Pada waktu tersebut, pak imam telah lama selesai membaca doanya, dan para makmum sudah mula keluar untuk meneruskan kerja-kerja mereka. Jejaka berjeans adalah salah satu dari mereka.
"Kau sesat? Meh, aku tolong kau." Lelaki tersebut mula menolak dia. Dia terjatuh tidak mampu untuk melawan, tiada daya. Harapan yang mekar tadi, mula layu, sedikit demi sedikit. Orang ramai yang berkumpul hanya melihat dia ditolak dan dicemuh oleh tiga lelaki tadi. Tiada satu pun yang menunjukkan tanda akan menolong dia. Dia tidak mampu untuk mengangkat mukanya. Malu untuk bertentang mata dengan sesiapa. Hatinya yang tadi dipenuhi dengan harapan, kini mula dipenuhi dengan sumpah seranah dan rasa marah yang tidak terhingga.
"Saudara, maaf. Berhentilah." Tiba-tiba satu suara yang lembut kedengaran di antara orang ramai yang berkumpul itu. Dia hanya duduk diam di situ, menunggu agar lelaki tadi benar-benar berhenti. Air mata masih mengalir. Hatinya mengucapkan terima kasih kepada suara lembut tersebut, kerana mencelah, menghentikan dia dari melakukan sesuatu yang akan menambah aibnya. Senyap sunyi sekeliling. Dia tidak mendengar dan tidak tahu apa yang sedang berlaku. Otaknya mula berfikir dengan perlahan, emosinya mula mereda.
"Awak tidak apa-apa?" suara lembut itu bertanya kepadanya. Satu tangan lembut memegang bahunya. Tersentak dia. Dia mengangkat kepalanya, ingin mengenal pasti siapakah yang sanggup memegangnya. Sepantas itu dia mengangkat kepalanya, sekilas melihat wajah lembut itu, sepantas itu jua dia menunduk kembali. Malu mungkin.
"Baiklah tuan-tuan dan puan-puan. Tiada apa-apa di sini. Silalah beredar ataupun masuk ke dalam masjid." pemilik suara, tangan serta wajah yang lembut tersebut cuba meleraikan manusia-manusia yang suka melihat namun tidak bertindak. Manusia...
"Mari masuk ke dalam masjid, berihkan diri sebentar" suara itu kembali menjemput dia masuk ke masjid. Sekali lagi dia terperanjat. Baru tadi aku dimarah sebab nak masuk 'tempat tu'. Kenapa? Dia seperti di dalam keadaan tidak sedarkan diri, membiarkan dirinya ditarik tangan tersebut dan ternganga melihat senyuman ikhlas yang sudah asing buat dirinya. Kedengaran suara tersebut berbicara dengan seseorang yang sedang duduk jauh dari mereka.
Namun dia tidak mahu mendengar apa yang dikatakan, dia mula memfokus pada jejaknya. Tersentak kembali dia, melihat dia telah pun melangkah masuk ke dalam 'tempat tu', tempat yang selama ini dia berjaya menjauhkan dirinya. 'Tempat tu' yang baginya tidak berguna dan hanya menyemakkan matanya, suatu ketika dahulu. Dia dikejutkan lagi sekali oleh suara lembut itu.
"Awak ok? Maaf, mereka bertindak kasar dengan awak. Salah faham mungkin." Suara itu menjelaskan apabila mereka berada di dalam tandas masjid tersebut. Pemilik suara lembut itu telah pun mengeluarkan tuala dari begnya yang besar itu. Dia melihat pemilik suara itu dengan pandangan yang pelik.
"Kenapa awak minta maaf? Awak tak buat salah pun" dia bertanya sambil mencapai tuala kecil tersebut. Gadis di depannya hanya tersenyum.
Bersambung, insyaAllah..
Ps: akhirnya dapat menulis....alhamdulillah...
Pss: nak tanya pendapat. nakbaca dalam bentuk parts[bahagian 1...2] atau sepenuhnya? Kalau sepenuhnya, mungkin dalam bentuk pdf kot...tolong bagi respon ek? saya pon x pasti...x habis tulis pun..
Pergilah, Asal Bukan di Sini
20 hours ago





0 comments:
Post a Comment